Nak Kaya dengan Buat Lagu?
- Writers Daily
- Dec 5, 2018
- 1 min read
oleh: Ikmal Alif

Pernahkah anda terfikir bagaimana seorang komposer dan penulis lirik dibayar?
Ya, mereka dibayar dengan royalti. Tapi siapa yang bayar royalti tersebut?
Setiap lagu yang dihasilkan akan didaftarkan di MACP. MACP adalah singkatan kepada Music Authors Copyright Protection yang mana merupakan organisasi bukan berasaskan keuntungan (Non-Profit Organisation).
Organisasi ini berperanan untuk memberikan lesen kepada pemuzik dan membayar komposer, penulis lagu dan penerbit apabila karya mereka ditayangkan dan dipersembahkan kepada awam secara langsung atau melalui stesen radio, televisyen dan platform digital. Setiap komposer dan penulis lirik yang mendaftar sebagai ahli MACP layak untuk menerima royalti sekiranya lagu-lagu mereka dikeudarakan.
Mesti ramai yang tertanya-tanya bagaimana MACP mendapat duit untuk membayar royalti kepada mereka? Pernahkah anda melihat logo MACP dilekatkan di pintu-pintu kedai, pasaraya atau restoran? Setiap premis atau kedai yang memasang lagu atau radio di kedai mereka perlu mendapatkan lesen dari MACP.
Lesen ini perlu diperbaharui setiap tahun. Bukan sahaja premis fizikal, mana-mana tempat yang memasang lagu di tempat awam perlu memilki lesen ini.
Setiap komposer dan penulis lirik yang menjadi ahli MACP, bukan sahaja berhak mendapat royalti malah turut diberi peluang untuk menyertai segala aktiviti yang dianjurkan MACP antaranya bengkel, majlis makan malam dan seminar.
MACP turut menganjurkan majlis anugerah yang diberi nama Malam Mesra MACP bagi mengiktiraf komposer dan penulis lirik. Antara anugerah yang dipersembahkan ialah Anugerah Komposer Muda Berpotensi, Anugerah Penerbit Tempatan dengan Pendapatan Terbanyak, Anugerah Komposer dengan Pendapatan Terbanyak dan Anugerah Penulis Lirik dengan Pendapatan Terbanyak.
Bilakah royalti ini akan diagihkan? Ia akan diagihkan sekali setahun dengan pengecualian kepada sesetengah kondisi yang memerlukan royalti diagihkan beberapa kali dalam setahun.
Comments